BULUH

Pokok buluh adalah salah satu daripada pokok hiasan yang diminati ramai.  Sejak dahulu lagi pokok buluh mendapat tempat di taman-taman botani seperti TamanTasik Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur, Taman Tasik Taiping, di Perak dan Taman Botanikal Singapura.  Rumpun buluh yang ditanam di tepi kolam dengan batang yang tinggi melampai memberikan pemandangan yang indah.  Terdapat lebih daripada 1,000 jenis tergolong dalam keluarga Bambusaceae dan sebahagian besarnya bersal dari kawasan tropika.

Tumbuhan ini mempunyai bentuk dan tekstur yang indah.  Bagaimanapun, ia belum begitu terkenal sebagai tanaman halaman sebaliknya lebih banyak digunakan sebagai pokok pagaran.  Buluh ialah pokok serba boleh, termasuk boleh dijadikan pokok hadang, tumpuan atau penutup bumi dan boleh ditanam secara berkelompok, di dalam pasu atau sebagai bonsai.

Jenis buluh yang banyak terdapat di kawasan tropika ialah dalam kumpulan Simpodial atau berumpun.  Akarnya membesar dan merebak secara mendatar serta mengeluarkan pucuk atau rebung yang membesar menjadi dahan berkelompok dan rapat.  Di Malaysia, jenis ini sesuai ditanam di halaman.

 

Penanaman

Hidup dan membesar secara berumpun.  Sesuai ditanam di kawasan yang luas dan jauh dari bangunan. Daunnya yang panjang dan melampai boleh menimbulkan gangguan.  Dalam hal ini, pemilihan jenis buluh sangat mustahak.  Pilih yang sederhana tinggi, rumpun dapat dikawal dan daun tidak mudah gugur.

 

Tanah

Hidup dan membesar dalam pelbagai jenis tanah.  Bagaimanapun, jenis tanah yang mempunyai bahan organik yang tinggi, peroi dan mempunyai saliran yang baik adalah paling sesuai untuk buluh.  Tanah liat yang keras perlu dicampur dengan bahan organik seperti gambut dan ditambah dengan kapur dolomite sebanyak 200 hingga 250 g bagi setiap meter persegi.  Bila menanam, timbunkan tanah di sekeliling pokok.

 

Menyiram

Pokok yang baru ditanam perlu dikekalkan kelembapannya, tetapi jangan terlalu basah sehingga menyebabkan air bertakung. Siram apabila perlu dengan memerhati dan memeriksa keadaan tanah.  Untuk mengekalkan kelembapan, pastikan pangkal rumpun disungkup dengan rumput kering.

 

Membaja

Perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya pokok berkembang dan mengeluarkan pucuk serta rebung yang bakal menjadi dahan atau batang buluh yang lebat lagi cantik.  Sebelum membaja, pastikan keadaan tanah lembap, seeloknya pada musim hujan dan dibaja di luar rumpun yang terdapat banyak akar.  Bajar organik atau sebatian dengan nisbah NPK 1:1:1 sesuai digunakan sebanyak 2.5 hingga 5 kg bagi setiap rumpun untuk dua kali setahun.  Daun yang gugur dikumpulkan di perdunya supaya dapat menambah nutrien pada pokok.

 

Memangkas

Kerja-kerja memangkas hendaklah ditumpukan pada batang buluh tau yang tidak lagi membesar.  Ini menggalakkan rebung tumbuh dan yang akan mengambil alih batang yang dipangkas serta menggalakkan rumpun membesar.  Memangkas juga bertujuan untuk menjarangkan batang buluh yang tumbuh rapat dan membuang batang buluh yang busuk atau bergeseran.  Gunakan gergaji untuk memangkas pangkal buluh yang telah dikenal pasti untuk dibuang.

 

Menanam Dalam Pasu

Beberapa jenis buluh didapati sesuai ditanam dalam pasu atau tempayan ialah kuning, buluh perut Buddha dan buluh bulu ayam.  Buluh jenis ini kebiasaannya dijadikan pokok hiasan di anjung dan di tepi kolam.

Campuran tanah yang mempunyai bahan organik yang tinggi sesuai untuk pokok berketinggian 30 hingga 60 cm.  Selepas menanam, siram sehingga basah dan berikan 5 hingga 6 cm sungkupan rumput kering.  Berikan naungan selama beberapa hari dan selepas itu bolehlah dialihkan di tempat tetap.  Rumpun buluh yang hendak ditanam mestilah mempunyai sekurang-kurangnya 2 hingga 3 batang buluh matang, dicantas dan ditinggalkan 3 hingga 4 ruas.

 

Menanam Atas Tanah

Rumpum buluh yang hendak ditanam mestilah mempunyai sekurang-kurang 2 hingga 3 batang buluh matang dan beberapa sulur.  Kemudian ditanam dalam lubang yang berukuran 1 x 1 x 1 m dengan tanah dicampur bahan organik serta baja fosforan sebanyak 150 g setiap satu lubang.  Masukkan rumpun buluh dan penuhkan serta timbunkan sekeliling rumpun.  Siram sehingga basah dan disungkup dengan rumput kering.  Pokok buluh besar seperti buluh air kuning perlu dipancang supaya tidak rebah kerana buluh dicantas tinggi 1.5 hingga 2 m.

 

Pembiakan

Belah rumpun daripada induknya menggunakan cangkul dan pahat kelapa sawit.  Cantas 2 hingga 3 batang pada ketinggian 4 hingga 6 ruas dan mempunyai beberapa sulur. Cara keratan pula dibuat dengan memilih buluh yang mempunyai akar tongkat di pangkal.  Pilih dahan yang panjangnya kira-kira semeter atau mempunyai 3 hingga 4 ruas.  Masukkan air ke dalam lubang buluh dan titutup dengan plastic.  Ia bertujuan untuk mengekalkan kelembapan sewaktu buluh berakar.  Cabang kecil yang mempunyai akar boleh ditanam terus dalam pasu dan pastikan ia mempunyai 3 hingga 4 ruas dahan.  Batang buluh yang besar dan mempunyai cabang atau dahan susur di ruas dahan juga boleh dibiakkan.  Pilih batang yang mempunyai 2 hingga 3 ruas dahan, dipotong dan ditebuk lubang.  Isikan air dalam lubang dan ditanam dalam pasir lembap sehingga pucuk mengeluarkan akar.

Buluh memerlukan kawasan yang luas kerana rumpunnya membesar.  Daunnya yang gugur akan menambahkan timbunan humus di bawahnya dan ini sesuai untuk serangga berbahaya seperti lipan, kala jengking serta tikus.  Orang kata, ada tikus ada ular, jadi berhati-hati dan kawal kebersihan kawasan sekitar rumpun buluh.

Ada pun, buluh yang lampai membawa kenangan kepada suasana desa kerana tumbuhan ini memberi jasa yang besar – sebagai sumber makanan, dijadikan alat muzik, dibuat bakul dan lukah untuk menangkap ikan.