BUNGA HATI BERDARAH

Pokok bunga hati berdarah adalah daripada jenis pokok memanjat.  Ini kerana dalam proses tumbesaran ia memerlukan sokongan seperti pergola atau kekisi untuk melilit dan berpaut. Kebiasaannya pokok memanjat kurang mendapat perhatian.  Dahannya akan jatuh terjuntai dan menjalar di tanah menyebabkan bentuknya tidak boleh dikawal.  Antara pokok memanjat yang isitmewa ialah bunga hati berdarah.  Walaupun bunyinya menyedihkan, bunganya yang berbentuk hati dan di hujungnya berwarna merah seperti luka, agak menarik.  Bunga hati berdarah atau nama saintifiknya Clerodendron mempunyai 400 jenis dan boleh didapati di kawasan beriklim tropika.  Antara jenisnya meliputi pokok renek, herba yang luruh, malar hijau dan berbunga indah.

 

Jenis-Jenis Bunga Hati Berdarah

Terdapat dua jenis bunga hati berdarah yang sangat popular dan selalu ditanam, iaitu:-

  1. Clerodendron thomsoniae jenis renek yang berasal dari Afrika Barat. Mempunyai bunga berwarna merah tua yang tumbuh dari kelopak berwarna putih berbentuk seperti loceng.  Daunnya lebar bujur berwarna hijau tua yang boleh mencapai ketinggian sehingga meter.
  2. Clerodendron splendus – berasal dari Afrika Selatan.  Jenis malar hijau yang mempunyai dahan melilit, ia boleh mencapai ketinggian 3 m.  Daunnya bujur tajam dan bunga berjambak merah hati.

Terdapat beberapa jenis Clerodendron, tetapi kebanyakannya daripada jenis pokok renek dan bukan daripada jenis menjalar atau memanjat.

 

           Sifat Dan Keperluan Bunga Hati Berdarah

  1. Ukuran – Ketinggian mencapai 1.5 h ingga 3 m mengikut jenis dan sesuai tanam dalam pasu serta perlukan sokongan.
  2. Tumbesaran – sederhana kepada cepat mengikut persekitaran.
  3. Bunga – kerap pada musim panas.
  4. Cahaya – perlukan tempat terbuka dengan cahaya sepenuhnya.
  5. Suhu – 28 hingga 30°
  6. Air – suka keadaan tanah yang lembap, oleh itu pastikan ia sentiasa lembap.
  7. Pembajaan – untuk menggalakkan tumbesaran, beri baja NPK dengan nisbah 1:1:1, manakala untuk menggalakkan berbunga, tukar kepada baja NPK b ernisbah 1:2:2. Sukatannya mengikut peraturan yang tertera pada plastic baja.
  8. Kelembapan – pastikan kelembapan tinggi. Sungkup tanah dengan kompos atau humus untuk mengekalkan kelembapan sepanjang masa.
  9. Memupuk tanah – gemburkan tanah dari semasa ke semasa untuk membaiki rongga. Bagi mendapatkan kembali tekstur tanah yang peroi dan rongga, tambahkan bahan kompos atau humus dan gemburkan di pangkal pokok.
  10. Memangkas – perlu dicantas untuk melatih ia memanjat dan melilit pada sokongan yang disediakan. Pastikan ia mempunyai sekurang-kurangnya tiga hingga empat cabang utama dan melilit pada sokongan atau pancang. Sulur air, dahan yang lemah, mati dan berpenyakit mesti dicantas begitu juga bunga lama yang kering supaya Nampak kemas dan bersih.
  11. Pembiakan – keratan dahan sederhana atau keras beukuran 15 hingga 20 cm boleh dibiakkan dengan mudah menggunakan penggalak akar. Akar akan mula keluar dalam masa empat hingga enam minggu dan alihkan ke dalam pasu menggunakan campuran tanah 3:2:1.
  12. Menukar pasu – bila akar sudah berserabut bermakna pokok boleh diganti dengan campuran tanah baru. Cantas dahan dan akar, kemudian tanam semula.

 

Masalah Yang Dihadapi Cara Mengatasinya

  1. Daun hijan pucat dan tidak kelihatan berkilar – perlu dibaja atau ditukar pasu.
  2. Daun layu atau gugur – akibat kekeringan. Siram dan pastikan tanah lembap serta gunakan sungkupan.
  3. Daun kekuningan dengan sawant di bahagian bawah – akibat hamama. Sembur dengan racun serangga sistematik seperti malathion.
  4. Tompok putih berdebu di bawah daun dan tnagkai daun – akibat koya. Sembur dengan racun malathion.

Pokok bunga hati berdarah boleh ditanam dengan pokok hiasan lain, terutama pokok penutup bumi seperti ros Jepun, bunga tahi ayam biru atau tanam bersama pokok memanjat lain seprti bunga tongking.  Elakkan daripada menanamnya bersama jenis pokok yang bersaing hebat seperti kesidang, kerana pokok kesidang boleh membantutkan pertumbuhan pokok bunga hati berdarah.