BUNGA KERTAS: TEKNIK PENJAGAAN

Bunga kertas (Bougainvillea) ia lah sejenis tumbuhan renek yang cantik dan menarik.  Ia diminati kerana bunganya yang berwarna-warni kembang sepanjang tahun, tahan dipangkas, boleh dibentuk, hidup di kebanyakan jenis tanah, serta cuaca dan boleh ditanam di dalam pasu atau atas tanah.

Namun begitu, kerap kali terdengar rungutan kebanyakan penggemar tanaman ini mengenai masalah pokok kurang mengeluarkan bunga dan tidak tahu cara membentuknya.  Dalam bab ini dan dua ban berikutnya akan  dibincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi keadaan ini dan cara mengatasinya.

 

TANAH

Tanah sesuai untuk menanam bougainvillea dalam pasu ialah campuran yang mempunyai tiga bahagian tanah atas (top soil), dua bahagian pasir dan satu bahagian bahan organic.  Masukkan sedikit baja asas (kapur GML/CML dan baja NPK/TSP) pada kadar 150 hingga 250 g bagi setiap 30 cmpadu tanah campuran.

Untuk tanaman di atas tanah pula, sediakan lubang berukuran dua kali ganda saiz bebola akar pokok.  Ini supaya akar pokok dapat tumbugh dengan baik serta mendapat oksigen dan unsur nutrien yang diperlukan.  Pastikan kawasan di sekitar lubang bersaliran baik kerana akar Bougainvillea akan lemas (kerana tidak mendapat oksigen) jika air bertakung terlalu lama.  Malah pertumbuhan pikok boleh terbantut, daun gugur, akar menjadi hitam dan reput.

Untuk mengetahui lubang tanaman bersaliran baik, masukkan air sehingga penuh.  Jika selepas 30 minit, air masih tidak meresap keluar maka tanah itu tidak bersaliran baik.

Gembur dan pecahkan tanah pada dinding serta bawah lubang.  Kadar campuran tanahnya ialah tiga bahagian tanah atas dan satu bahagian bahan organic dengan ditambah baja asas seperti dinyatakan.

Caampuran tanah bagi pokok dalam pasu boleh diguna untuk pokok di atas tanah.

 

AIR

Air penting untuk pertumbuhan kerana ia menjadi pelarut kepada unsur makanan.  Ia juga komponen penting untuk proses fotosintesis, menguatkan pokok dan mengawal suhu dalam tanaman.  Air diambil oleh pokok melalui akar rerambut (akar halus) dan sedikit melalu daun.  Lebih kurang 70 hingga 90 peratus berat tanaman adalah air.  Sebab itu tanpa air atau kurang air, pokok akan layu dan kering.  Jika ini berterusan, pokok akan mati.

Semua tumbuhan berbunga seperti Bougainvillea, mempunyai dua peringkat pertumbuhan iaitu vegetatif (mengeluarkan akar, batang, dahan dan daun baru) dan reproduktif (mengeluarkan bunga dan buah).

Amalkan menyiram pokok dengan lebih kerap terutama pada peringkat vegetatif sekurang-sekurangnya dua hingga tiga kali sehari.  Air diperlukan bagi menggalak pengeluaran banyak dahan, tunas dan daun baru.  Daripada cabang akan tumbuh banyak bunga.  Untuk menggalakkan pengeluaran bunga pula (peringkat reproduktif), air perlu dikurangkan (satu hingga dua kali sehari) bagi memberi tekanan (stress) kepada pokok untuk mengeluarkan bunga.

Untuk mengekalkan kelembapan tanah, sungkupan diletakkan di pangak pokok.  Bahan sungkupan ialah rumput kering, daun kering atau bahan kompos yang sudah reput. Tebal sungkupan lebih kurang 10 hingga 15 cm.  Jangan letak sungkupan sehingga mengenai batang pokok kerana ini boleh menyebabkan serangan kulat dan mereputkan pangkal batang.  Sungkupan juga mengawal pertumbuhan rumpai dan boleh menjadi baja organik apabila reput. Penyiraman dapat dikurangkan apabila menggunakan sungkupan.

Jumlah air yang disiram bergantung kepada jenis tanah, ukuran pokok, tempat ditanam, kandungan bahan organic dan cuaca.  Tanah berpasir perlu lebih kerap disiram kerana air cepat kering begitu juga sewaktu musim panas, di kawasan terbuka dan kuat tiupan angin.  Air yang disiram perlu meresap masuk sehingga 15 hingga 20 cm ke dalam tanah.  Untuk pokok Bougainvillea dalam pasu, siraman dibuat sehingga air keluar dari bawah lubang pasu.

 

CAHAYA

Pokok Bougainvillea sukakan cahaya.  Pastikan ia mendapat enam hingga lapan jam cahaya matahari sehari.  Letak pokok di tempat terbuka dengan jarak tanaman 1 hingga 3 m.  Pastikan pokok tidak dilindungi bayang bangunan atau pokok besar.

Jika tidak mendapat cukup cahaya, pokok akan kurang berbunga malah warna bunga dan daun lebih gelap serta daun lebar.  Bunga juga tidak dapat bertahan lama dan cepat gugur.

Selain factor itu, pokok Bougainvillea memerlukan pengudaraan yang baik supaya mendapat bekalan oksigen dan karbon dioksida secukupnya untuk pernafasan dan fotosintesis.  Kelembapan pokok juga hendaklah di sekitar 60 peratus RH supaya dapat memberi kesegaran kepada pokok dan mengurangkan serangan serangga perosak.