Cekur

Di kalangan masyarkat kampung, pokok cekur adalah sejenis tanaman tradisional yang selalu digunakan sebagai ulam dan merawat penyakit seperti sakit kepala, mual serta gastrik.  Cekur ialah pokok herba saka yang berizom dan berumpun.  Tanaman ini mempunyai ketinggian 15 hingga 30 cm serta mengeluarkan daun berwarna hijau tua dan berbelang.  Bunganya pula berwarna ungu dan mempunyai empat kerola.  Daun dan rizom cekur juga mengeluarkan aroma yang kuat.

Ia boleh dipecahkan kepada beberapa jenis dan kultivar merangkumi cekur jantan, emas dan cekur kuning.  Kebanyakan pokok cekur berasal dari India.  Bagaimanapun, pada masa sekarang ia banyak ditanam di Asia Tenggara.

Selain jenis asal, beberapa spesies cekur baru seperti Kaempferia rotunda, Kaempferia pulchra dari Myanmar dan Kaempferia grandiflora dari Afrika turut diperkenalkan dan berpotensi ditanam sebagai pokok hiasan.

 

Penanaman

Cekur boleh ditanam sebagai pokok hiasan taman kerana ia mempunyai daun yang berwarna-warni dan mempunyai bunga menarik.  Ada juga pokok cekur yang sesuai ditanam atas batas bagi membentuk pokok pinggiran disebabkan sifatnya yang rendah, selain dijadikan tanaman penutup bumi.  Selain itu, pokok cekur juga sesuai ditanam dalam pasu dan ditempatkan bersama pokok hiasan lain di anjung.

Pokok cekur sukakan persekitaran yang lembap dan kandungan tanah yang tinggi dengan bahan organik.  Keadaan yang kering dan panas boleh menyebabkan pucuknya layu serta musnah.  Pastikan pokok cekur mendapat naungan yang sesuai dengan menanamnya di bawah pokok tinggi yang boleh melindunginya daripada panas terik.

 

Persekitaran

Tanaman ini memerlukan kadar suhu yang sederhana sekitar 25°C.  Sekiranya melebihi aras ini, daunnya akan melecuh.  Ia juga berkehendakkan tahan pencahayaan sederhana dan memerlukan campuran tanah yang lembap.  Seelok-eloknya gunakan sungkupan untuk memastikan persekitarannya sentiasa berada dalam keadaan sedemikian.  Bagi tujuan pemasuan semula, rumpun yang terlalu padat dan rapat boleh dibelah dan ditanam semula dengan campuran tanah 3:2:1.  Cekur juga boleh dibiak secara belahan ketika proses pemasuan semula.

 

PEMBAJAAN

Baja organic NPK 8:8:8 boleh digunakan.  Guna sebanyak 30 g bagi satu pasu dan ulang setiap dua hingga empat minggu.  Jika ditanam atas batas, tabur baja dalam sukatan 150 hingga 200 g setiap meter dan ulang proses setiap empat hingga enam minggu.  Cantas daun yang layu dan mati dari bahagian pangkal daun.

SUNGKUPAN

Sentiasa buatkan sungkupan kerana ia dapat memperbaiki tekstur tanah sekeliling supaya menjadi peroi dan berongga. Tanah gambut, humus, serat koko dan rumput kering adalah antara bahan organik yang boleh digunakan sebagai sungkupan.

MASALAH

Beberapa masalahyang dikenal pasti sering menyerang tanaman ini, adalah:

  1. Hujung daun berwarna coklat dan kering disebabkan udara kering dan panas. Selalu lihat bahagian bawah daun bagi memastika tiada hamama. Cantas daun yang mati dan alihkan ke kawasan redup serta siram pokok berkenaan.
  2. Daun bergulung (curled) dan berbintik serta bahagian bawahnya berwarna kuning disebabkan

kekurangan air. Jangan biarkan tanah kering ketika pokok sedang membesar.

  1. Daun gugur disebabkan udara kering dan kelembapan yang rendah. Tingkatkan kelembapan

sekeliling dengan sungkupan.

  1. Dahan layu dan reput disebabkan sungkupan terlampau basah. Kurangkan air dan tentukan ia

sekadar lembap sahaja.

  1. Daun hilang warna dan melecuh disebabkan pancaran cahaya terus dan terik. Alihkan pokok ke tempat yang bermaung.

Cekur boleh dikategorikan sebagai tanaman hiasan yang baru di negara ini dan untuk menentukan ia hidup sihat dan segar, pastikan ia memperolehi kadar kelembapan dan cahaya yang sempurna.