HALIA HIASAN

Halia lazimnya di gunakan sebagai bahan masakan dan perubatan, namum sejak kebelakangan ini ia turut menjadi pilihan untuk ditanam sebagai pokok herba saka hiasan.  Tanaman ini mempunyai ciri-ciri istimewa terutamanya pada daun dan bunga yang berwarna-warni, malah ada juga jenis yang berbunga harum.

Halia tergolong dalam keluarga Zingiberaceae yang mempunyai lebih 1,200 spesies dengan 1,000 daripadanya berasal dari Asia Tropica.  Terdapat 24 genera dan 600 species tanaman ini dikenal pasti berasal dari Kepulauan Melayu seprti Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina dan Papua New Guinea.

Pokok halia hiasan lazimnya memiliki had tinggi, ukuran dan bentuk berlainan.  Ada yang mencapai ketinggian 1.5 hingga 2 m.  Pokok halia herba saka juga mempunyai rizom, sama ada pendek atau panjang yang menjalar di atas tanah.  Rizom yang menjalar ini kemudiannya menegak dan mengeluarkan pucuk, daun serta bunga.  Rizom akan membesar bersambung-sambung dan menjadi rumpun besar.

Cuaca di negara ini mampu menggalakkan tumbesaran halia sepanjang tahun.  Namun pada musim tengkujuh didapati tumbesarannya lebih subur dan pesat.  Terdapat juga halia yang mempunyai rizom di bahagian daun, tetapi akan layu dan mati.  Selalunya keadaan ini berlaku pada musim kemarau.  Bagaimanapun, ia akan mengeluarkan pucuk dan daun semula pada musim hujan.

Antara jenis halia yang boleh ditanam sebagai pokok hiasan merangkumi halia (Zingiber), kunyit (Cucurma), tepus (Hedychyium), cekur (Keampferia) dan tepus (Alpinia).

Ukuran besar pokok halia adalah mengikut spesis.  Lazimnya bermula daripada 20 cm sehingga 5 hingga 6 cm tinggi.  Halia selalunya berbunga satu atau dua kali setahun mengikut jenis.  Hedychium Coronarium dikenal pasti antara jenis halia yang berbau harum.  Bagi membolehkan ia hidup subur, tanaman jenis ini memerlukan pencahayaan enuh dan separuh naungan dengan suhu 29 hingga 32°C.  Dalam pada itu, ia juga memerlukan keadaan batas yang lembap sepanjang masa dengan jumlah kelembapan tidah kurang daripada 60 peratus.

 

PEMBAJAAN

Batas untuk menyemai tanaman ini perlu dibuat dalam keadaan tinggi serta mengandungi bahan organic supaya tanah menjadi gembur, peroi dan berongga.  Baja NPK 15:15:15:2 dalam sukatan 200 hingga 250 g perlu diberi dalam tempoh empat kali setahun.

 

PENANAMAN SEMULA

Rumpun rizom akan membesar dan menjadi padat.  Ia bergerak secara mendatar.  Rumpun ini boleh dirombak dan dibelah (division), seterusnya boleh digunakan untuk ditanam semula.

 

PEMBIAKAN

Pembiakan tanaman halia lazimn;;ya menggunakan rumpun  (rizom) dengan cara belahan.  Rumpun yang dibelah akan mempunyai tiga hingga empat rizom.

 

JANGKA HAYAT

Jangka hayat bagi setiap jenis saka akan hidup bertahun-tahun.  Pokok halia hiasan boleh ditanam bersama pokok hiasan seperti bromeliads, pakis dan pokok herba saka lain di bahagian bawahnya.  Secara keseluruhan pokok halia hiasan tidak sukar ditanam dan dijaga.

 

MASALAH   

Seperti pokok lain, halia hiasan tidak terlepas daripada ancaman penyakit dan serangga.  Kawalan kebersihan perlu ditentukan, bermula dari proses penanaman.  Kanopi atau rinbunan yang terlalu padat perlu dicantas bagi membolehkan peredaran udara dan mendapat pencahayaan secukupnya.  Semburan racun kulat dan serangga b oleh dilakukan jika perlu.