HALIA MERAH

Halia merah (Alpinia) adalah sejenis halia hiasan yang mengeluarkan bunga berwarna merah dan merah jambu.  Ia tergolong sebagai pokok herba saka berumpun dan mempunyai rizom seperti Heliconia dan setawar (Costus).  Selain menjadi pokok hiasan, ia juiga boleh ditanam di dalam pasu.  Antara jenis halia merah yang selalu ditanam ialah Alpnia pupurata (red ginger) manakala jenis liar pula terdiri daripada Alpinia pahangensis.  Biarpun spesies halia berkenaan masih belum diterokai sepenuhnya, ia mempunyai potensi dijadikan tanaman  hiasan.

Sekiranya ditanam di taman, halia merah perlu ditanam atas batas secara berkelompok.  Ia mampu mencapai ketinggian 1 hingga 1.5 m jika ditanam atas batas.

Dahan yang rebah perlu ditegakkan atau dipancang.  Dahan yang tua selepas berbunga boleh dicantas pada bahagian pangkal iaitu kira-kira 10 hingga 15 cm dari aras tanah.  Proses pemangkasan juga membantu rizom mengeluarkan dahan baru.

 

PEMBIAKAN

Rumpun halia merah mempunyai banyak rizom dan boleh dibiak secara belahan.  Terlebih dahulu, rumpun perlu dikeluarkan dari batas dan cantas pangkal dahan.  Seterusnya belah runpun dan tentukan setiap rumpun kecil mempunyai tiga aatau empat rizom baru.  Tanam belahan kecil pada batas yang disediakan. Bunga halia merah yang matang boleh mengeluarkan sulur baru, yang juga boleh digunakan untuk proses pembiakan.  Caranya ialah dengan mengambil bunga tua yang mempunyai sulur itu dan tanam di dalam campuran tanah 3:2:1.  Bila akar mula keluar, kerat satu persatu dan terus ditanam di tempat yang disediakan.

 

PENCAHAYAAN

Halia merah boleh ditanam di kawasan yang bernaung atau di tempat terbuka dengan kadar pencahayaan sepenuhnya.  Malah, halia merah sesaui dengan keadaan cuaca yang panas pada tahap suhu 28 hingga 32°C.

 

AIR/KELEMBAPAN

Pastikan keadaan tanah selalu lembap tetapi tidak terlalu basah kerana ini boleh menyebabkan rizom menjadi busuk.  Sebaikanya kelembapan sekeliling pokok perlu dipastikan berada pada tahap 60 peratus ke atas.  Sekiranya kelembapan kurang, ia boleh menyebabkan pokok menjadi layu secara berpanjangan yang akhirnya menyebabkan pucuknya mati.  Sungkupan daripada bahan organik seperti kompos (humus) atau sabut kelapa boleh mengekalkan kelembapan dalam tempoh yang lama.

 

TANAH

Sekiranya ditanam di dalam pasu, gunakan campuran tanah 3:2:1 dengan menambahkan sedikit bahan organik supaya tanah menjadi lebih gembur.  Jika ditanam di atas batas, ia memerlukan lebih banyak bahan organik bagi memastikan tanah gembur dan selalu berada dalam keadaan peroi yang boleh menggalakkan pertumbuhan pucuk baru.

 

NUTRIEN

Baja organik atau kimia dengan nisbah NPK 1:1:1 sesuai untuk pokok halia merah yang ditanam dalam pasu atau atas batas.  Jika ditanam dalam pasu, sebaiknya tabur 30 hingga 40 g baja setiap dua hingga empat minggu sekali.  Bagi tanaman batas pula, berikan lebih kurang 200 hingga 250 g setiap meter persegi dalam tempoh 8 hingga 12 minggu sekali.  Pastikan baja masuk ke dalam tanah dengan memecahkan permukaan tanah supaya tidak berlaku lesap larut disebabkan hujan.

 

PENYAKIT DAN SERANGGA

Bagi mengelak sebarang serangan penyakit, jangan biarkan tanah terlampau basah.  Daun dan dahan yang sudah tua terlampau basah.  Daun dan dahan yang sudah tua, layu serta berpenyakit perlu dicantas dari awal.  Kawalan kebersihan perlu dibuat supaya penyakit tidak menyerang.

Secara keseluruhan, halia merah tidak sukar ditanam dan dijaga.  Paling penting ialah menjaga persekitarannya, nescaya ia akan hidup sihat dan segar.