KEKWA

Bunga kekwa ataupun Chrysanthemum adalah sejenis bunga keratan iklim sederhana yang banyak diusahakan di Cameron Highlands.  Ia juga adalah pokok herba daripada keluarga Composite yang berasal dari China, Jepun dan Tibet.  Pelbagai jenis bunga kekwa berjaya dikacukkan untuk tujuan komersil.  Usaha kacukan bunga kekwa banyak dilakukan di Amerika, Holland, England dan Jepun.  Bunga yang berjaya dikacukkan biasanya dipamerkan di pusat florikultur di Holland dan England.  Selain kekwa menjadi tanaman florikultur, ada juga jenis yang digunakan sebagai sayuran, iaitu chopsuey green (Chrysanthemum coronorium) dan minuman kotak the herba (Chrysanthemum tea) yang popular.

 

PENANAMAN

Sungguhpun ada beratus-ratus jenis pokok kekwa, penanamannya dibahagikan mengikut bentuk bunga, iaitu:

  1. Single – mempunyai satu atau dua lapis kelopak luar (ray flower) dan kelopak leper di bahagian dalam (disk

flower).

  1. Arempnes – berbentuk menyerupai single, tetapi bunga disk panjang dan bulat.
  2. Pompon – bulut dan mempunyai bunga ray yang pendek serta padat.
  3. Decoratives – kecil sedikit daripada pompon dan mempunyai bunga ray yang panjang di bahagian luar.
  4. Spider – bunga ray panjang bulat di bahagian luar dan pendek di dalam.  Bunga ray panjang akan berjuntai.

Bunga kekwa juga mempunyai pelbagai jenis warna, iaitu putih, kuning, ungu dan gangsa serta berukuran  dua hingga lebih 15 cm.  Pokok kekwa boleh ditanam atas batas atau di dalam pasu.

Bagaimanapun, pokok kekwa lebih sesuai ditanam di dalam pasu sebagai hiasan luaran atau dalaman manakala bunganya dikerat untuk gubahan.  Pokok kekwa boleh berbunga dalam masa lapan higga 10 minggu selepas ditanam, dengan memanjangkan cahaya satu hingga dua jam pada waktu malam.  Tujuan memanjangkan cahaya adalah untuk menggalakkan tumbesaran vegetatif selama empat hingga enam minggu.  Selepas itu, cahaya lampu bolehlah ditutup untuk menggalakkan pembungaannya pula.

 

PASU

Pelbagai bekas boleh digunakan, tetapi pasu plastik berukuran 15 hingga 20 cm paling sesuai.  Pastikan pasu berlubang di dasarnya untuk system pengudaraan dan pengaliran air.  Bagaimanapun, letakkan beberapa lapisan serpihan pasu atau batu kerikil di dasar sebelulm diisikan campuran tanah.

 

CAMPURAN TANAH

Campuran tanah untuk pokok kekwa mesti mempunyai sifat tertentu bagi mengelak penyakit yang selalu merebak dari tanah.  Tekstur tanah juga mestilah gembur dan rongga, boleh membantu pengudaraan dan saliran air yang baik, nutrien mencukupi dan tidak ada penyakit yang boleh memusnahkan pokok.  Cara untuk mengelak daripada terkena jangkitan penyakit perang kekwa (Chrysanthemum white rust) ialah menyiram terlebih dahulu campuran tanah dengan larutan racun kulat seperti benomyl, captan dan thiram.

Kawalan kebersihan sangat penting dijaga dari mula penanaman sehingga pokok berbunga.  Pelbagai jenis sukatan dan bahan campuran boleh digunakan tetapi yang istimewa hendaklah mempunyai campuran dua bahagian tanah peroi, satu bahagian tanah gambut, satu bahagian pasir sungai (kasar), baja permulaan, baja organic NPK 8:8:8 dan kapur GML 2 hingga 2.5 kg serta satu meter padu campuran.  Seeloknya bahan yang digunakan diayak untuk mendapat campuran seragam.

 

PEMBIAKAN/BAHAN TANAMAN

Keratan berakar atau anak pokok dalam pasu boleh dibeli di mana-mana pusat semaian atau yang terbaik sekali sekiranya anda berpeluang membelinya di Cameron Highlands kerana anda dapat menentukan jenisnya.  Keratan berakar boleh terus ditanam di dalam pasu sedia ada sekurang-kurangnya ditanam tiga keratan dalam setiap satu pasu.  Jika hendak membuat keratan, dahan hijau bahagian pucuk pokok kekwa boleh digunakan.

Mula-mula kerat dahan hijau kira-kira 60 hingga 70 cm panjang, dengan tiga hingga empat helai daun dibuang.  Tebuk hujung dengan penggalak akar atau terus ditanam di dalam pasir supaya berakar.  Selalunya keratan mengambil masa tujuh hingga 10 hari untuk berakar dan boleh ditanam terus ke dalam pasu.

 

CARA MENANAM KEKWA DALAM PASU

Terdapat dua cara menanam pokok kekwa di dalam pasu, iaitu spray dan standard.  Jika memilih cara spray, ia memerlukan tiga hingga empat keratan berakar dan kemudian dahan dicantas bagi menggalakkan semua dahan berbunga ke arah menghasilkan bunga berjambak.  Cara ini sesuai untuk jenis decorative, pompon, single dan spider.

Cara standard juga memerlukan tiga hingga empat keratan berakar ditanam dan kemudian dicantas bagi menggalakkan setiap satu pokok mengandungi tiga hingg empat dahan saja, bermakna dahan terhad kepada jumlah tertentu dan satu dahan hanya menghasilkan sekuntum bunga.  Cara ini dapat menentukan ukuran bunga yang lebih besar dan tebal, di samping bertangkai panjang.  Kudup bunga sisi juga hendaklah dikutil (dishbudding) dan dibuang.  Jenis yang sesuai untuk tanaman standard ialah exhibition, decorative dan spider.

 

PEMBAJAAN

Pokok kekwa yang ditanam di dalam pasu hendaklah dibaja dari semasa ke semasa untuk menentukan tumbesaran yang sihat, segar dan mengeluarkan bunga bermutu.  Pelbagai jenis baja organic dan bukan organic boleh digunakan untuk pokok kekwa.  Bagaimanapun, hanya dua jenis baja sahaya yang digalakkan, iaitu untuk tumbesaran vegetative baja seperti NPK 8:8:8, NPK 10:10:10 atau NPK 15:15:15 dan untuk pembungaan, baja NPK 12:12:17+2 dan NPK 21:36:36.  Cara pembajaannya ialah dengan membacuhkannya bersama air dan disiram atas tanah, mengikut sukatan 20 hingga 30 g baja berserta 25 liter air, seminggu sekali.  Perlu diingat, sewaktu pokok kekwa di peringkat vegetatif (hijau), baja seimbang harus diberikan dan apabila mulai mengeluarkan kudup bunga, tukarkan kepada baja berbunga GP NPK 12:12:17+2.

 

PENYAKIT DAN SERANGGA

Jika kawalan kebersihan dilakukan sejak awal lagi, seperti merawat campuran tanah, memilih anak pokok yang sihat dan segar serta memberi nutrien secukupnya, pokok kekwa pasti boleh hidup sihat dan segar, di samping mampu mengatasi masalah, terutama penyakit dan serangga.

Jangan lupa, keadaan persekitaran seperti kelembapan, suhu, cahaya, udara dan air turut memainkan fungsi penting kepada pokok kekwa.  Jika satu daripadanya tidak berfungsi atau kekurangan, ia akan menjejaskan tumbesaran pokok.  Bagaimanapun, racun serangga dan kulat boleh digunakan sekali-sekala, jika didapati kehadiran serangga begitu ketara.  Penyakit karat putih (Chrysanthemum white rust) misalnya, boleh memusnahkan keseluruhan tanaman kekwa jika tidak dikawal.  Gunakan racunm kulat seprti benomylm dithane serta maneb.

Kadangkala pokok kekwa diserang oleh serangga seperti kutu daun (alphids), hamama, pelombong daun (leaf miner), kumbang bunga dan siput kecil.  Ia dapat dikawal dengan menggunakan racun diazinon, amitraz, tetradifon, carbofuran serta metilaldehid.