PALMA

Pokok palma mudah hidup di kawasan yang beriklim tropika.  Di negara kita sahaja terdapat lebih kurang 31 genus dan 194 spesies palma asli.  Kebanyakan spesies itu mempunmyai potensi dalam hortikuiltur lanskap.  Ia sesuai ditanam sebagai pokok pinggiran jalan, tabir (screening), pokok tumpuan dan tanaman dalam pasu.  Ia dianggap sebagai pokok serba boleh.

Pokok palma juga adalah sejenis pokok yang indah dan mempunyai pelbagai bentuk, tekstur daun serta batang, warna pelepah dan buah.  Ia memiliki ukuran ketinggian 2 hingga 30 m.  Palma boleh dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu palma tunggal dan palma berumpun.

 

PALMA TUNGGAL

Ia mempunyai batang utama yang bulat dan tumbuh tegak serta lurus dalam pelbagai ukuran dan ketinggian.  Contoh pokok palma tunggal ialah pinang agung (Roystonea regia) dan kelapa (Cocos nucifera).  Ada juga spesies palma yang mempunyai batang memanjat seperti rotan manau (Calamus manna).

 

PALMA BERUMPUN

Ia mempunyai beberapa bilangan batang yang tumbugh dan membesar dari pangkal.  Batangnya berbentuk bulat dan lurus dalam pelbagai ukuran serta ketinggian.  Contoh pokok ini ialah pinang raja (Cyrstostayhs lakka) dan pinang kupu-kupu (Chrysalidocarpus lutescens).

 

CARA MENANAM DAN PEMELIHARAAN

Boleh dikatakan dalam industry lanskap, pokok palma hiasan menjadi tanaman yang popular.  Ia sesuai ditanam di kawasan perumahan, kilang, kawasan rekreasi mahupun di tepi jalan raya.

Palma hiasan seperti pinang merah dan pinang kuning boleh ditanam dalam pasu atau tempayan.  Aliran di dalam industry lanskap sekarang menyaksikan penanaman segera bagi mendapatkan kesan cepat dan ukuran besar.  Pokok palma yang besar boleh ditanam bagi tujuan berkenaan, tetapi harganya lebih mahal berbanding pokok palma kecil yang mengambil masa untuk membesar.

Bagi kawasan taman yang kecil keluasannya, memadai ditanam palma setinggi 1 dan 1.5 m, dengan jarak tanaman kira-kira 3 hingga 4 m setiap pokok.  Ia sesuai ditanam pada pelbagai jenis tanah, tetapi memerlukan penyediaan lubang yang besar, sekurang-kurangnya 1 m persegi.  Tanah yang diisi dalam lubang itu perlu dicampurkan bahan organik seprti baja asli, tanah gambut atau serat koko sebanyak empat hingga lima pungkis pada setiap lubang.  Bahan organik ini boleh menggembur dan menghasilkan liang rongga pada tanah, selain meningkatkan daya penyerapan.

Kapur (GML) juga perlu dicampur untuk memperbaiki keasidan tanah kepada pH5.5 hingga pH6.5, iaitu kadar kandungan asid yang sesuai bagi pokok tropika hidup sempurna.  Sukatan kapur bagi setiap lubang mestilah sekurang-kurangnya 100 g.

Selepas lubang dan campuran tanah disediakan, bolehlah ditanam dengan spesies pokok palma yang sudah dipilih.  Bagi pokok palma segera, selalunya dibungkus dengan kain kerana kain akan reput dan bertukar menjadi bahan organik.

Pokok palma yang sudah ditanam perlu disiram untuk mengelakkan daripada layu, malah perlu dipancang dan diikat sekiranya pokok itu condong.

 

PEMBAJAAN

Pokok palma selalunya menunjukkan kesegaran dalam tempoh tiga hingga empat bulan selepas ditanam.  Pembajaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk menggalakkan tumbesaran yang segar dan sempurna.

Sukatan baja ialah 2.5 kg NPK 15:15:15 bagi setiap 3 cm garis pusat pokok berkenaa.  Ini bermakna, jika pokok itu bergaris pusat kira-kira 15 cm, maka baja yang dikehendaki ialah 7.56 kg bagi satu pokok.

Untuk membajainya, buatkan lubang sedalam 20 hingga 30 cm dan kemudian isikan baja yang siap disukat ke dalamnya.

 

KAWALAN PENYAKIT DAN SERANGGA

Pokok palma hiasan jarang diserang penyakit, melainkan bintik-bintik dan lecur daun yang selalunya disebabkan keadaan persekitaran seperti kelembapan yang tinggi atau cahaya terlampau panas.  Bagaimanapun, tindakan menyembur dengan racun kulat perlu dijalankan secara rutin.

Serangga seperti hamama dan terip didapati sering menyerang pokok palma hiasan.  Pokok palma yang diserang oleh serangga tersebut perlu dirawat dengan segera.  Cara rawatannya ialah dengan mencantas daun yang terkena serangan atau menyemburnya dengan racun serangga.

 

PEMANGKASAN

Aktiviti ini juga perlu dilakukan secara rutin, jika tidak pelepah dan daun palma kelihatan hodoh, malah terkulai dari batang utamanya.  Pangkas rapat sehingga ke pangkal pelepah daun tua di bahagian bawah.  Selain itu, tangkai bunga yang lama juga hendaklah dipangkas.

Jika hendak mencantas palma hiasan yang berumpun dan banyak mengeluarkan anak atau sulur seperti pinang merah dan pinang kupu-kupu, sebaiknya tinggalkan lima atau enam batang utama yang segar dan yang lain bolehlah dicantas.

Alat cantasan yang selalu digunakan ialah gergaji pangkasan berukuran lebih 4 cm untuk memangkas atau memotong batang yang besar manakala bagi dahan atau batang kecil, gunakan gunting pangkasan.

 

JENIS PALMA HIASAN

Malaysia mempunayi bilangan genus dan spesies palma yang terkaya di dunia, iaitu lebih kurang 25 genus dan 200 spesies.  Antara spesies yang sesuai ditanam ialah:

 

Palma Iskandar (Archontophoenix alexander)

Palma tunggal sederhana besar, dengan ketinggian di antara 4 hingga 5 m, berasal dari Australia.  Warna batangnya kelabu dan mempunyai jalur bekas pelepah.  Memperlihatkan daun hijau muda dan sedikit melengkung.  Buahnya kecil (kira-kira 7 cm), juga berwarna hijau dan bertukar merah apabila masak.

Ia sering ditanam berderet di pinggiran jalan atau di tepi bangunan.  Sesuai ditanam di kawasan terbuka dan mendapat cahaya matahari sepenuhnya.

 

Pinang Kuning (Chrysalidocarpus lutecens)

Jenis berumpun dengan ruas batang yang pendek dan ada kalanya bercabang.  Bekas pelepah jelas kelihatan pada batang pokok.  Daunnya hijau kuning manakala pelepah serta batang daun berwarna kuning dan berbentuk melengkung.  Buahnya bujur bulat berwarna kuning berukuran kira-kira 2 cm.

Ia berasal dari Pulau Madagascar dan sesuai ditanam dalam pasu besar atau atas tanah sebagai pokok berumpun.  Palma jenis ini sesuai ditanam di lokasi terbuka dan menerima pencahayaan penuh.

 

Pinang Rajah (Crytostachys lakka)

Palma pinang rajah berumpun sederhana besar yang banyak terdapat di negara kita dan juga di Indonesia.  Tingginya antara 4 hingga 5 m.  Daunya berwarna hijau dengan ukuran 1 hingga 2 m yang melengkung di hujung.  Batang utama dan pelepah berwarna merah manakala buahnya berwarna hijau berbentuk bujur (kira-kira 4 cm) yang bertukar hitam apabila masak.

Pembiakannya melalui biji benih dan belahan rumpun yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga atau empat sulur.  Palma ini sangat popular ditanam di halaman rumah kerana batang utama dan pelepahnya yang berwarna merah memberikan pandangan menarik.  Selalunya ia ditanam dalam satu barisan di tepi bangunan dan menghasilkan reka bentuk yang menawan.

 

Palas Kipas (Licuala grandis)

Jenis pinang tunggal yang sederhana besar, berasal dari Kepulauan New Herbrides.  Daunnya berbentuk kipas dan bahagian tepinya bergerigi.  Panjangnya lebih kurang 70 hingga 90 cm.  Bentuk buahnya bulat berukuran 1 cm, berwarna hijau dan bertukar kuning apabila masak.  Pembiakannya menggunakan biji behih dan sesuai ditanam dalam pasu atau atas tanah.  Ia juga sesuai hidup di kawasan teduh dan terbuka di bawah pancaran penuh cahaya matahari.

 

Palma Serdang Cina (Livistona chinensis)

Palma tunggal sederhana besar dengan ketinggian antara 5 hingga 8 m, berasal dari Selatan China.  Pada batang utamanya kelihatan bekas pelepah berwarna perang.  Daunnya berjari (palmate) berukuran 1 hingga 2 m panjang.  Hujungnya berjurai dan melampai.  Bentuk buahnya bujur bulat berwarna hihau dan bertukar hitam apabila masak.  Selalu pembiakan palma jenis ini adalah melalui biji benih.

Ia lazim digunakan sebagai tanaman pinggiran jalan.  Jika ditanam di taman, ia sesuai sekali menghiasi depan rumah sebagai tanaman tumpuan.  Kedudukan paling sesuai bagi pertumbuhannya ialah tempat terbuka dengan menerima cahaya matahari penuh.

 

Palma Macarthur (Ptychosperma maarthurii)

Palma hiasan berumpun yang sederhana tinggi 4 ingga 6 m, berasal dari New Guinea.  Daunnya berukuran 1 hingga 1.8 m dan melengkung.  Batang utama berwarna kelabu.  Buahnya berbentuk bulat, kecil (Lebih kurang 0.7 cm) dan berwarna hijau yang bertukar merak apabila masak.

Pembiakannya dilakukan melalui penyemaian biji benih yang masak dan secara belahan rumpun.  Ia semaking popular dan sesuai ditanam di halaman rumah sebagai tabir (screening) kerana memerlukan kawasan terbuka atau redup, selain boleh ditanam dalam pasu untuk hiasan dalaman.

 

Palas (Rhapis excelsa)

Sejenis palma berunpun yang tingginya 2 hingga 2.5 m berasal dari China dan Jepun.  Ia mempunyai banyak sulur yang tumbuh pada pangkal dan boleh merebak.  Batangnya yang beruas-ruas dibaluti serabut perang.  Daunnya yang hijau berkilat berukuran 40 hingga 50 cm.  Ia juga mengeluarkan buah kecil berukuran 2 hingga 3 cm dan berwarna merah apabila masak.  Pembiakannya sering dilakukan secara belahan rumpun dan sesuai ditanam di halaman rumah serta dalam pasu sebagai tanaman hiasan dalaman.

 

Palma Manila (Veitchia merrillii)

Palma tunggal yang mempunyai batang lurus dan tingginya 2 hingga 3 m.  Berasal dari Filipina.  Batang utama berwarna kelabu dan mempunyai ruas pelepah lama.  Buahnya berbentuk bujur bulat kira-kira 2 cm panjang, yang berwarna hijau dan bertukar merah apabila masak.  Proses pembiakannya melalui biji benih.  Ia popular sebagai tanaman di halaman rumah dan kelihatan cantik jika ditanam, berderet.