PERALATAN DAN BAHAN ASAS TAMAN

Penjagaan taman membabitkan pelbagai kegiatan yang di jalankan secara berterusan dengan tujuan memastikan pokok sentiasa sihat dan segar serta mempamerkan bentuk, warna dan tekstur yang indah. Justeru, untuk menjaga dan mempertingkatkan keindahan taman yang bermutu, pemilihan bahan serta peralatan taman perlu dilakukan dengan betul dan teliti. Banyak pokok musnah dan rosak kerana peralatan yang digunakan tidak betul atau sempurna.  Ungkapan “guna alat yang betul untuk kerja yang betul” seharusnya dikotakan ketika menjalankan kegiatan dalam taman. Bagaimanapun sebelum bertindak, tentukan apa yang hendak dilakukan dan kendalikan secara beransur-ansur atau satu persatu.

 

Tentukan kehendak pokok, bukan kehendak kita.  Inilah masalah sebenar di dalam taman.  Bagi mengatasinya, lakukan pemerhatian pada setiap pokok kerana lain pokok lain ragamnya. Selepas mengetahui “ragam”, tentukan kegiatan dan pilih peralatan serta bahan untuk menyelenggarakan pokok berkenaan.

 

Peralatan Taman

Kebanyakan peralatan dan bahan taman yang ada dalam pasaran selalu disebut sebagai peralatan khas.  Sebaiknya simpan peralatan taman di tempat tertentu seperti dalam stor atau almari. Jauhkan daripada kanak-kanak kerana kebanyakan peralatan sedemikian berbentuk tajam manakala sesetengah bahan mungkin beracun.  Bersih dan sapukan minyak kepada peralatan selepas diguna supaya tidak karat dan kotor.

 

Cangkul

Alat penting yang diguna secara manual bagi memecah dan menggemburkan tanah, membuat lubang tanaman atau batas.  Pilih cangkul mata 12 inci untuk melakukan kerja tanah yang berat.

 

Pencakar Rumput

Diperbuat daripada plastik atau buluh untuk kegunaan mencakar rumput selepas dipotong.  Kedudukan gigi pencakar agak rapat dan sesuai bagi mengumpul daun kering dan ranting kecil.

 

Pencakar Tanah

Diperbuat daripada besi dengan gigi pencakar lebih jarang.  Ia selalu di guna bagi menghakis dan meratakan tanah.

 

Slope

Berbentuk seperti sudip lebar dan bertangkai panjang.  Lazimnya diguna untuk mencampur tanah dan membuat lubang.

 

Pungkis

Peralatan yang jarang kelihatan pada masa sekarang.  Pada masa dahulu pungkis diperbuat daripada buluh atau rotan, tetapi pada masa sekarang ia diperbuat daripada plastik.  Pungkis digunakan untuk mengangkut tanah, pokok dan sebagianya.

 

Kereta Sorong

Berbentuk bakul besi beroda yang digunakan untuk membawa bahan yang lebih banyak dan berat.

 

Sudip dan Garpu Tanah

Alat penting yand mesti dimiliki untuk menanam, menggembur dan mencungkil pokok hiasan dalam pasu atau batas.  Sebaliknya beli yang bermutu kerana jenis yan murah selalunya cepat patah atau bengkok.

 

Gunting Pokok

Satu peralatan yang indespensible yang mesti sentiasa dibawa apabila berada di persekitaran taman.  Ia sangat sesuai digunakan untuk membuat pemangkasan.  Terdapat pelbagai bentuk dan saiz, bergantung kepada ukuran pemotongan yang hendak di lakukan.  Jika pandai menjaganya, ia boleh digunakan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

 

Gunting Andaman

Gunting Andaman digunakan untuk mengandam pokok pengaran dan topiari untuk mendapatkan tekstur yang lebih halus dan licin.  Gunting Andaman mempunyai mata yang panjang dan bertangkai.

 

Gunting Pokok Tangkai Panjang

Khusus untuk memotong dahan besar yang lebih daripada 3 cm.

 

Gergaji Pangkasan

Pokok hiasan yang besar seperti pokok tanjung, cempaka, paka unta memelilki dahan besar yang berukuran lebih daripada 5 cm.  Untuk memangkas dahan berukuran sedemikian perlu menggunakan gergaji pangkasan supaya kesan potongan Nampak bersih dan licin.  Ia boleh diperolehi dalam pelbagai saiz, iaitu di antara 15 hingga 45 cm.

 

Bahan Taman

Bahan taman perlu disediakan sepanjang masa tetapi perlu dipastikan simpananya tidak melebihi tempoh tiga atau empat bulan.

 

Baja

Baja mempuyai nutrien untuk kesegaran dan kesihatan pokok.  Pemilihan penggunaannya mestilah bersifat khusus dan tertakluk kepada dua atua tiga jenis sahaja.  Simpan baja di dalam bekas dan tempat yang kering.  Tumpukan kepada penggunaan baja organik kerana ia lebih selamat walaupun digunakan berlebihan, di samping tidak mengakibatkan pencemaran.  Pelbagai jenis baja boleh didapati di pasaran, namun sebaiknya pilih baja untuk keperluan tumbersaran vegetatif dan pengeluaran bunga.

 

Racun Kulat atau Serangga

Tidak dinafikan pelbagai penyakit dan serangga boleh menyerang dan merosak pokok hiasan.  Pelbagai cara dapat dilakukan untuk menghalang serangan penyakit dan serangga. Menggunakan racun adalah cara paling berkesan dan mudah.  Pilih jenis racun yang mempunyai jalur coklat dan kuning kerana tahap keracunannya rendah.  Simpan racun di tempat yang selamat dan jauhkan daripada kanak-kanak.

Apabila menjalankan kegiatan taman adalah digalakkan membuat satu jadual ringkas supaya tidak berlaku pertindihan kerja.  Penjagaan taman juga membabitkan kawalan kebersihan, justeru tentukan kawasan taman bersih dariada sampah sarap.  Sebaiknya sediakan tong atau lubang sampah.