SEPIT UDANG

Pokok-pokok herba saka adalah satu kumpulan pokok hiasan yang sungguh indah ditanam di halaman rumah kerana ia mengeluarkan bunga beraneka warna seperti pokok bunga tasbih (canna) dan pokok halia merah (red ginger).  Ada juga pokok herba saka yang mengeluarkan daun berwarn-warni seperti Maranta dan Calathea.

Satu lagi jenis pokok herba saka yang sering mendapat perhatian ialah pokok sepit udang atau dikenali juga dengan nama Heliconia.  Ia termasuk dalam keluarga pokok pisang (Musaceae) dan mempunyai lebih kurang 100 species pokok yang tumbuh berumpun.

Heliconia boleh dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu seakan pisang (banana-like) dan seakan tasbih (Canna-like) atau seakan halia (ginger-like) mengikut bentuk cabang dan helaian daunnya.

Heliconia mempunyai bunga (brakta) yang cantik dan berwarna serta berkilat (waxy and leathery).  Ada juga yang mengeluarkan daun berwarna-warni.  Kebanyakan Heliconia berasal dari America Selatan, Pasifik Selatan dan Indonesia.

Bunga Heliconia sekarang menjadi satu pengeluaran bunga keratan yang berpotensi, selain sesuai ditanam di halaman secara berkelompok dan diadunkan dengan pokok hiasan bersesuaian untuk mendapatkan reka bentuk tanaman yang indah.  Jenis yang ada bagaimanapun masih lagi kurang dari segi ukuran, bentuk, tekstur dan warna untuk sesuatu fungsi seperti penutup bumi atau penghalang hakisan tanajh tabir (screening).

 

JENIS-JENIS POKOK SEPIT UDANG

Spesies yang ada belum lagi dapat dipastikan dengan tepat kerana banyak spesies baru diperkenalkan dan kebiasaannya ia dikenal pasti melalui warna bunga (brakta) atau nama biasa sahaja.

 

CARA MENANAM

Di Malaysia, Heliconia selalunya ditanam di atas batas kerana kelompoknya cepat membesar dan membiak akibat rizomnya yang menjalar luas.  Heliconia adalah sejenis pokok yang cepat membesar dan membiak.  Oleh kerana itu, ia tidak ditanam bersama pokok hiasan lain ia akan membantutkan tumbesaran pokok yang berhampiran.

Untuk menanam Heliconia, tapak semaiannya mestilah terbuka dan mendapat cahaya matahari secukupnya.  Selain itu, pastikan ia mendapat aliran udara yang bebas kerana Heliconia tidak begitu sesuai untuk hidup di tempat yang terkepung.

Tanah yang sesuai digunakan ialah jenis peroi liat berkelembapan tinggi, tetapi pastikan air tidak mudah bertakung, untuk meronggakan tanah dan meninggikan kelembapannnnya, tambah dan campurkan bahan organik seperti tanah gambut, baja asli serta baja kompos ke dalam batas yang disediakan.

Taburkan secara rata di atas batas baja asas NPK 15:15:15 dan kapur pertanian (dolomite lime) sebanyak 100 hingga 150 g bagi setiap meter persegi.  Luas batas tertakluk kepada jumlah pokok yang ditanam dan keluasan kawasan, tetapi seeloknya mengikut kemampuan individu.

Anak pokok Heliconia boleh dibeli di dalam beg plastik di kebanyakan tapak semaian, Cuma mungkin jenisnya terhad.  Sesetengah tapak semaian turut menyediakan belahan rumpun (rizom) yang dicungkil dari batas pokok induk.

Sekiranya anda bercadang hendak membeli belahan rumpun, pastikan sekurang-kurang ada tiga atau empat rizom yang sihat dan segar bersama akar serta batangnya.  Sebaik sahaja pokok Heliconia dibeli, ia hendaklah

segera ditanam untuk mengelakkannya daripada menjadi layu.

Pastikan rizom ditanam 10 hingga 15 cm ke dalam dan padatkan tanah sekeliling supaya belahan menegak atau disokong dengan pancang buluh.  Siram pokok yang baru ditanam dan sebaik-baiknya disungkup dengan bahan organik yang ada untuk mengekalkan kelembapan.  Pokok Heliconia cepat membesar dan berumpun.  Jarak tanaman paling sesuai ialah 0.5 x 0.5 m mengikut ukuran batas dan jumlah bahan tanaman sedia ada.

 

MEMBAJA

Heliconia adalah sejenis pokok yang mengambil banyak nutrient (grass feeder), berumpun, cepat ,membesar dan membiak,  Oleh itu, tumbuhan ini hendalah diberi baja dengan lebih kerap supaya dapat mengeluarkan daun dan bunga (bracts) yang lebih cantik.  Baja sebatian seperti NPK 15:15:15 atau NPK 14:14:14 sesuai digunakan, dengan sukatan 150 hingga 200 g bagi setiap meter persegi.  Lakukan kerja-kerja pembajaan pada setiap empat hingga enam minggu sekali.

Selain itu, untuk menentukan tekstur tanah gembur dan peroi serta menerima proses penyerapan air yang elok, pupuk batas dengan bahan organik seperti baja asli dan tanah gambut.

 

MENCANTAS

Mencantas dilakukan secara rutin apabila daun kelihatan layu dan berpenyakit, begitu juga bunga dan tangkai  bunga.  Kerja mencantas juga boleh dilakukan secara terus atau potong balik dahan pokok untuk menggalakkan pertumbuhan dahan baru atau dengan mengalihkan rizom baru.

 

KAWALAN PENYAKIT DAN SERANGGA

Pokok Heliconia tidak mudah mendapat serangan penyakit mahupun serangga.  Tetapi sebagai langkah pencegahan, eloklah disemburkan dengan racun kulat dan serangga secara rutin.  Daun yang layu dan berbintik perlu dicantas, kemudain disemburkan racun kulat seperti benomyl, dithane atau mane

Ada kalanya hamama (mites) dan kutu terip menimbulkan masalah kepada heliconia.  Ia sering terdapat di bawah daun dan pangkal pokok serta tersorok di dalam rumpun pokok yang padat.

Terlebih dahulu, cantas daun dan dahan yang diserang hamama dan kutu terip untuk membuka rumpun dan seterusnya sembur dengan racun serangga seperti malathion, diazinon dan permethrin.