SIRIH GADING

Ada pelbagai pokok hiasan berdaun boleh digunakan sebagai tanaman di dalam atau di kawasan bernaung.  Satu daripada ialah pokok duit-duit atau sirih gading (Scindapsus aureus) daripada kumpulan keluarga Araceae atau keladi.  Pokok ini berasal dari Asia Tenggara dan mempunyai 40 species jenis memanjat menggunakan akar udara.  Biasanya, ia mempunyai daun kecil, tetapi apabila dapat melekap dan memanjat pokok, tembok atau kayu sokongan, daunnya akan membesar kepada ukuran 30 hingga 90 cm panjang.  Daunnya seakan-akan menyerupai bentuk jantung, berwarna hijau muda bertompok kuning, putih atau warna perak.

 

JENIS-JENIS SIRIH GADING

  1. Scindapsus aureus – sirih gading biasa, berwarna hijau bertompok kuning dan berdaun kecil.
  2. Scindapsus aureus var marble queen – berdaun putih berbelang hijau.
  3. Scindapsus pictus var argyaeus – berdaun besar dan tebal serta berwarna hijau perak.

 

MENANAM DAN MENJAGA

Pokok sirih gading selalu ditanan sebagai pokok hiasan dalaman kerana daunnya yang berwarna-warni, sesuai ditanam di dalam pasu dan digalakkan melilit sokongan.  Ia juga boleh ditanam di dalam mangkuk sebagai dish garden, yang hanya menggunakan batu sungai kecil atau aqual jel dan air.

Jika ditanam untuk hiasan dalaman, terlebih dahulu pastikan keperluan persekitarannya, iaitu tempat naungan lebih kurang 25 peratus, kelembapan tinggi kira-kira 85 peratus, pengedaran yang baik dan suhu 28 hingga 30°C.

Selain itu, ia juga boleh ditanam di tembok, dalam keadaan akar-akar udaranya dapat melekap serta menutupi dinding dengan cantik.  Ia juga boleh ditanam sebagai penutup bumi di tempat bernaung dan lembap seperti pokok Rhoeo spa tau Spathiphyllum sp.

 

CAMPURAN TANAH PASU

Bekas seperti pasu biasa, plastik atau seramik boleh digunakan untuk menenam pokok sirih gading.  Bagaimanapun, pastikan bekas itu mempunyai lubang di dasarnya untuk kemudahan pengudaraan dan saliran air.  Untuk ini, pastikan campuran tanah mempunyai ciri-ciri yang berikut:

  1. Beronggan dan gembur
  2. Membantu pengudaraan yang baik
  3. Mempunyai saliran air yang elok
  4. Mempunyai nutrien mencukupi.

Campuran tanah pasu asas yang mengandungi tiga bahagian tanah peroi, dua bahagian bajan organik dan satu bahagian pasir didapati sangat sesuai digunakan.  Jangan lupa menambahkan baja asas seperti baja organik NPK 10:10:10 atau 8:8:8 dan kapur.

Sewaktu menaman, pastikan keratan diambil dari pokok yang sihat.  Keratan yang mempunyai tiga hingga empat ruas atau satu ruas (keratin luas dahan) boleh ditanam secara terus ke dalam pasu.  Untuk memperolehi pokok sirih gading yang padat, ia boleh ditanam sebanyak empat hingga lima keratan.  Keratan dan dahan in  akan menjala ke luar pasu.

Pokok sirih gading boleh ditanam menggunakan sokongan seperti kayu beluti 0.65 x 0.65 m atau batang paku gajah.  Sewaktu menanam, ikat lima hingga enam keratan yang berakar terlebih dulu pada sokongan dan kemudian barulah ditanam dalam pasu yang disediakan.

Tanaman pokok sirih gading sebagai dish garden membentuk gubahan yang cantik untuk diletakkan di atas meja atau televisyen.  Bagaimanapun, pastikan air di dalam bekas tidak mempunyai nyamuk aedes!  Mangkuk lutsinar sangat sesuai digunakan dan hias dengan batu sungai di dalamnya.

Untuk ini, keratan yang beraka hendaklah ditanam di celah-celah batu sungai dan diisikan air.

 

PENYAKIT DAN SERANGGA

Tidak banyak penyakit atau serangga yang menyerang pokok sirih gading, tetapi yang sering berlaku ialah daunnya mudah melecuh kerana terik matahari.  Oleh itu, semburan rancun kulat dan serangga perlu dilakukan sebagai langkah pencegahan.

 

MEMBAJA

Oleh kerana sirih gading adalah sejenis pokok hiasan berdaun, maka untuk mendapat daun yang cantik, gunakan baja campuran yang mempunyai kandungan N tinggi atau baja seimabang seperti NPK 8:8:8 dan NPK 15:15:15.  Ikut peraturan untuk mendapat sukatan yang betul.